Monday 23 March 2015

Aiskrim OSDA

AISKRIM OSDA 
Penulis Cerpen: 2indworld
(Kredit: Google)
AISKRIM OSDA

Penulis Cerpen: 2indworld


Kring…Kring….Bunyi loceng aiskrim pakcik Saad. Aku tinggal di rumah flat akan terus berlari keanak-anakkan meneruni tangga dari tingkat empat apabila terdengar bunyi loceng aiskrim pakcik Saad. Kebiasaannya, Pakcik Saad akan datang pada pukul 11pagi.

Sebelum turun, aku ada satu perangai iaitu takut kena tinggal oleh Pakcik Saad ini. Maklumlah bila tiada pelanggan, pakcik itu akan berlalu pergi. Kadang-kadang aku tak perasaan pun pakcik Saad datang. Bunyi loceng aiskrimnya yang terakhir baru aku terdengar.

“Pakcik…” aku menjerit sekuat hati dari tingkat atas. Budak umur 10 tahun mana ada perasaan. “Tunggu…saya hendak turun, saya hendak beli ais krim.” Aku begitu bersungguh minta pakcik itu tunggu.

Lewat pagi itu, ibu sibuk memasak di dapur, “Ibu, Fatihah hendak beli ais krim, Nanti pakcik itu tinggalkan Fatihah,” aku terus memujuk ibu untuk memberi RM0.50. Selepas berterima kasih dengan ibu, aku terus berlari-lari demi mendapatkan aiskrim.

Aku termengah-mengah bila sudah sampai dibawah, toleh kekiri pakcik itu sudah meninggalkan aku. Mungkin lama sangat dia tunggu tadi atau dia sendiri fikir budak-budak hendak mainkan dia. Apalagi aku pun kejar pakcik Saad ini yang tengah mengayuh becanya.

Sekali lagi dari jauh aku menjerit, “Pakcik…pakcik…tunggu saya” aku memanggilnya dari jauh. Ada dalam lebih kurang 20 meter. Pakcik Saad terus menoleh kebelakang, aku rasa sangat lega dia mendengar suara aku.

“Pakcik, saya hendak beli aiskrim…” sambil cuba mengambil nafas dek tercungap-cungap berlari tadi.

“Anak…pakcik hendak cepat ini, sudah lambat hendak ke surau,” balas pakcik Saad dengan nada yang agak risau. Masa itu azan Zohor baru sahaja berkumandang.

Aku masih berdiri tegak dihadapan pakcik itu tanpa mahu berganjak pun. Aku sudah terlambat. Itulah masa pakcik itu datang, berlengah-lengah hendak habiskan cerita Power Rangers. Aku dapat menganggak pakcik ini mahu cepat seolah-olah dia tidak kisah aiskrimnya tidak dapat dijual.

“Tidak mengapalah pakcik, terima kasih.” Aku memuncungkan mulutku. Aku agak kecewa kerana pakcik ini tidak mahu menjual aiskrimnya.

Melihat riak wajah aku mahu berpusing kebelakang dan berlalu pergi pakcik itu memanggil aku, “Anak…sini.”

Aku melonjak gembira apabila pakcik itu berkata, “Anak…mahu berapa?” sambil membuka tong biskut yang diletakkannya kon aiskrim.

“Satu pakcik. Saya hendak aiskrim coklat boleh?”

“Maaf, anak. Aiskrim coklat tidak ada hari ini.” Sambil bersabar melayan kerenah aku.

“Tak apalah pakcik. Mana-mana pun boleh.” Selepas dapat aiskrim, seronok bukan kepalang. Aiskrim pakcik ini lain dari yang lain. Sebab itu lah tidak hairan kadang-kadang aku sanggup kejar pakcik ini sampai ke blok lain.

Sampai dirumah, aku menikmati aiskrim pakcik Saad ini. Aku terus ke dapur untuk bertanyakan soalan kepada ibu. “Ibu, aiskrim pakcik ini sangat sedap. Unik rasanya.” Aku bercerita kepada ibu betapa seronoknya makan aiskrim pakcik ini setiap kali dia datang.

“Cuba teka kenapa sedap?” ibu mempersoalkan aku balik.

Aku menjungkit bahu aku, “Entah tak tahu. Kenapa ibu?” Ibu sempat lagi tersenyum melihat gelagat anak kecilnya sampai menggigit-gigit kon tersebut dengan muka yang comot.

“Ibu dapat tahu pakcik itu buat aiskrimnya sendiri. MashaAllah, Kalau kamu rasa aiskrim ini unik, namanya pun unik juga. Jenama aiskrim pakcik ini OSDA. OSDA itu bermaksud Orang Sabar Disayangi Allah. Jadi, anak ibu ini, bila besar nanti jadi orang yang sabar ya.” sambil ibu mencuit hidungku.  

Itulah kali terakhir aku membeli aiskrim pakcik Saad.

***
Aku membuka suapan berita di Facebook. Tiba-tiba aku ternampak kawanku berkongsi artikel mengenai pakcik Saad ini di Facebook.

Aku membaca artikel tersebut. Kini aku berusia 21 tahun. Tiba-tiba terasa rindu dengan aiskrim OSDA pakcik Saad.

Kisah Pakcik Saad menjual aiskrim demi PhDnya
Siapa tidak kenal dengan seorang lelaki yang berjubah dan berserban yang menjual aiskrim di sekitar Sri Bunga? Penemubual yang mahu dikenali sebagai En Razak menceritakan pengalaman beliau menemubual pakcik ini. Dikatakan, pakcik Saad ini datang dari Surabaya. Dia menyara perbelanjaan PhDnya dengan membawa beca menjual aiskrim OSDA di sekitar kawasan Taman Anggerik dan Taman Bunga Raya pada setiap hari sekitar pukul 9.00 pagi sehinggalah masuk waktu zohor. Dia akan menyambungnya semula selepas Zohor sehinggalah waktu Asar tiba.

Kegigihannya mencari rezeki mendapat perhatian penduduk masyarakat yang mengenalinya selepas berbual dengannya. Masih ada lagi, orang yang sanggup mencari rezeki demi PhD pada usia yang menjangkau 50 tahun.

Beberapa komentar oleh penduduk Taman Anggerik dan Taman Bunga di laman sosial.

Fateh: Aiskrim pakcik ini sangat sedap. Dia buat sendiri. Sangat lembut dan berkrim. Lain dari yang ada di pasaran.

Imam Kamal: Saad ini bila waktu sembahyang, setiap kali itulah dia ada di masjid ini. Saya sangat mengkagumi beliau. Beliau sangat menjaga solat jemaahnya walaupun sibuk mencari rezeki.


Selepas membaca artikel ini, aku berfikir sejenak di depan komputer riba. Aku cuba mengingati peristiwa yang lepas.

Tiba-tiba teringat peristiwa pakcik ini ketika dia bergegas mahu ke masjid sewaktu aku kecil dahulu.
“Allah, apa pengajaran yang hendak Engkau sampaikan kepada aku?” Aku bersoal kembali kepada diriku. Tidak ada kejadian yang berlaku tanpa kehendakNya.

Apabila difikirkan balik, rupanya Allah hendak ingatkan aku agar menyegerakan solat diawal waktu. Selain itu, berbalik apa tanggungjawab aku sebagai khalifah. Aku tak pernah merasai kesusahan hendak belajar. Semuanya ditanggung oleh ibu ayah. Berbeza dengan pakcik ini, berjihad mendapatkan ilmu Allah.

Allahurabbi. Aku baru tersedar yang menjadi seorang khalifah di muka bumi ini perlukan kekuatan. Pakcik ini sangat hebat. Dalam dunia ini, sehebat mana pun kita, suatu hari nanti kita akan dipulangkan kepada pencipta dengan amalan dan taqwa sahaja.

Pakcik ini sanggup meninggalkan dunia sebentar demi berjumpa dengan Allah pada awal waktu.
Pakcik ini amat yakin rezekinya tidak pernah tertukar. Ikutkan boleh sahaja dia berjual beli ketika azan tetapi dia meninggalkannya untuk sementara waktu.

Pakcik ini boleh sahaja duduk dirumah dan menjual aiskrim bukan disebabkan mahu menampung perbelanjaan PhDnya dan meminta mana-mana orang yang hendak membiayainya mencapai cita-cita, tetapi dia tidak berbuat demikian.

Malunya aku. Baru hendak buka buku ilmiah sudah terasa malas.

***

“Fatihah, solat…” aku tersedar dari lamunan apabila ibu mengingat aku setiap kali azan sudah kedengaran. MashaAllah, azan sudah berkumandang di televisyen. Setiap kali itu juga aku akan memberi alasan sekejap lagi, lagi 5 minit Fatihah solat. Selepas 5 minit, aku beri alasan kepada diri sendiri lagi, nantilah awal lagi, lagi 10 minitlah aku sembanhyang. Lama-lama, lagi 10 minit hendak masuk waktu lain barulah hendak berlari-lari ke bilik air hendak solat.

“Ya Allah, ampunilah dosaku. Aku mahu berubah, InsyaAllah.” Selepas membaca artikel dan mengimbau kenangan dengan pakcik itu baru aku tersedar. Alhamdulilah, aku kena menghargai hidayah ini. Terima kasih ya Allah.

Aku terus bangun dari menghadap komputer ribaku.

“Ibu, tunggu Fatihah. Fatihah hendak berjemaah sekali.”


Cerpen ini pernah dihantar kesalah satu penerbitan, tetapi gagal mendapatkan maklumbalas, jadi sesiapa yang membaca cerpen ini, mungkin boleh memberi komentar. 

No comments:

Post a Comment